BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 11, 2010

Minda: Tingkat imej politeknik

Minda: Tingkat imej politeknik



2010/03/10-arkib harian metro
E-mel  Artikel Cetak  Artikel Tanda  Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen  Artikel

SEJARAH pendidikan politeknik melalui jalan cukup panjang dan sehingga kini menjadi penyumbang utama kepada negara dalam melahirkan graduan separa profesional di sektor industri dan teknologi.

Sehingga kini ribuan lepasan politeknik menjadi tenaga penggerak utama pembangunan negara dan ia seharusnya menjadi kebanggaan kepada semua pihak khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Meneliti sejarah, politeknik pertama ditubuhkan ialah Politeknik Ungku Omar di Perak pada 1969 dengan matlamat memberikan latihan teknikal kepada anak tempatan. Politeknik itu mengambil nama Allahyarham Profesor Datuk Ungku Omar Ahmad sebagai mengenang jasanya dalam bidang penyelidikan perubatan. Maka, dari situlah pengajian politeknik mula berkembang pesat sejajar dengan kepesatan pembangunan negara. Satu demi satu politeknik baru dibina untuk memenuhi keperluan sumber tenaga kerja dalam sektor industri dan teknologi.


Sehingga kini, ada 27 politeknik beroperasi di seluruh negara. Ia bukan lagi satu jenama pendidikan tinggi kelas kedua kerana kerajaan telah dan sedang melaksanakan transformasi secara terancang memartabatkannya setaraf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain. Kalau dulu belajar di politeknik dianggap sebagai kelas kedua kerana taraf politeknik dianggap lebih rendah dan berbeza dengan sistem pembelajaran di IPTA tetapi dengan langkah terkini yang dilaksanakan iaitu mewujudkan politeknik premier akan membuka mata semua betapa kerajaan tidak memencilkan politeknik.


Tahniah kepada tiga politeknik yang telah dinaik taraf sebagai politeknik premier iaitu Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bharu. Penarafan politeknik berkenaan akan menjadi asas ke arah penubuhan universiti politeknik menjelang 2015. Ini satu berita menggembirakan semua pihak kerana cadangan seumpama itu sudah lama ditunggu-tunggu dalam mengangkat martabat sistem pengajian politeknik di tempat yang sejajar dengan IPTA lain. Politeknik premier yang dipilih itu akan berperanan menjalankan program dalam bidang tujahan, selain mempelopori usaha menawarkan program pengajian berbentuk teknikal kepada pelajar antarabangsa khususnya dalam kalangan negara membangun. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin transformasi pengajian politeknik itu boleh dijayakan melalui inovasi sistematik bagi menambah nilai kepada proses dan keberhasilan serta latihan politeknik.


“Penubuhan universiti politeknik menjadi pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian tinggi,” katanya. Jadi, kita melihat langkah awal mewujudkan tiga politeknik premier itu akan menjana satu senario baru kepada paradigma orang ramai khususnya pelajar terhadap kepentingan sistem pengajian di politeknik dan seterusnya menjadikan politeknik pilihan utama dalam pengajian tinggi negara. Sesungguhnya penarafan politeknik premier itu memberi nafas baru dan menyegarkan landskap alam pengajian tinggi dengan membuka ruang dan peluang kepada anak bangsa menceburi bidang kemahiran dan teknikal sehingga ke peringkat tertinggi. Manakala cadangan kerajaan akan menaikkan taraf politeknik menjadi universiti penuh menjelang 2015 akan menjadikan negara hab pendidikan terulung di rantau ini. Menurut Muhyiddin, universiti politeknik ini akan membolehkan pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu menyambung pengajian ke institusi lain.

Langkah menaik taraf politeknik sebagai universiti boleh dilaksanakan sebagaimana kaedah UiTM sebelum ini. Mungkin Politeknik Ungku Omar boleh dijadikan kampus utama dan semua politeknik di seluruh negara dijadikan kampus cawangan. Bagaimanapun, ini hanyalah satu cadangan saja. Mungkin Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai rangka perancangan yang jitu dalam membentuk satu entiti jenama politeknik yang berwibawa. Justeru, mulai sekarang kita harap semua politeknik mengambil langkah konkrit dalam memperkukuhkan kualiti pengajian dengan melaksanakan inovasi dalam pelbagai program pengajiannya agar menjadi satu tarikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memilihnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Seperti kata Muhyiddin, inovasi dalam pengurusan politeknik selain mampu menarik minat pelajar terbaik mengikuti pendidikan vokasional dan teknik, ia juga boleh dikembangkan dengan memberi pengecualian kredit kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik. Ini akan menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama pelajar yang berhasrat mengikuti pengajian di universiti teknikal. Sesungguhnya saranan Muhyiddin itu harus dilihat sebagai usaha murni ke arah menjadikan politeknik destinasi utama pilihan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Penubuhan politeknik premier itu satu usaha pelestarian melahirkan modal insan yang diingini negara bagi memenuhi keperluan pembangunan dan menjayakan kejayaan industri. Politeknik premier dan seluruh politeknik lain seharusnya mulai sekarang berusaha keras untuk melahirkan pelajar yang berpersonaliti unggul, berinovasi dalam mengetengahkan pelbagai program pengajian yang berimpak tinggi dan juga mesti memiliki tenaga pengajar berwibawa. Selain itu, politeknik juga seharusnya mampu menyediakan prasarana mencukupi dan berkeadaan kondusif untuk pelajarnya. Melalui kriteria seperti ini, politeknik akan memacu secara efektif ke arah menjadikannya universiti politeknik menjelang 2015.


Kesimpulannya , dapat dirumuskan di sini bahawa transformasi politeknik itu akan memperkasakan aliran pengajian tinggi dalam lapangan teknikal dan vokasional, sekali gus menaikkan imejnya sebagai institusi pengajian tinggi ulung serta menjadi pilihan utama lepasan SPM/STPM. Mengurusperdanakan politeknik mesti dirancakkan bermula sekarang kerana dalam tempoh lima tahun daripada sekarang rakyat khususnya pelajar akan melihat satu fenomena baru alam pengajian tinggi beraliran teknikal dan vokasional. Politeknik setakat ini berjaya melahirkan 305,900 graduannya yang kini berada di serata pelosok negara menyumbang tenaga kemahiran menjana kejayaan sektor industri dan teknologi negara.


Kepada lepasan SPM/STPM, janganlah malu dan beranggapan negatif terhadap pengajian di politeknik kerana bidang teknikal dan vokasional membuka prospek cemerlang buat anda semua. ‘Politeknik Pilihan Bijak Buat Anda’.

Wednesday, March 10, 2010

Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut

Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut

“Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu. ” (QS Fushshilat : 53)

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)

Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau , ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan ( surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez . Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan.. .”Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak
ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut

Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.

Setengah pengkaji mengatakan, itu bukanlah sungai biasa, itu adalah lapisan hidrogen sulfida, nampak seperti sungai… luar biasa bukan? Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT.

sumber: Sajadah Sukses / best1of4

Contohi kepimpinan Nabi Muhammad

ARKIB : 26/02/2010 - Utusan

Contohi kepimpinan Nabi Muhammad

KEPIMPINAN Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh. Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat sesuatu masalah.

Sekiranya pemimpin mudah hilang punca dan pertimbangan setiap kali berdepan dengan cabaran berat, banyak tindakan yang dilakukan tidak dapat dipastikan kesannya. Mereka mungkin sentiasa menukar perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara.

Perbincangan adalah satu amalan yang perlu diutamakan semasa merancang atau mengambil keputusan penting melibatkan rakyat yang mana setiap individu yang terlibat dalam urusan itu dapat memberi pendapat dan membuat keputusan bersama.

Rasulullah SAW sentiasa berlapang dada menerima pandangan para sahabat di mana baginda tidak memberi kata putus secara peribadi dalam hal melibatkan kepentingan rakyat. Pemimpin yang selalu berbincang menandakan mereka mempunyai sikap berlapang dada dan bersedia untuk ditegur.

Sesungguhnya tidak jatuh maruah pemimpin yang ditegur oleh orang bawahan. Sikap itu membawa rasa hormat rakyat terhadap pemimpin. Manusia tidak sempurna dalam semua hal dan memerlukan perbincangan atau pertolongan individu lain untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Peribadi unggul lain yang dimiliki Nabi Muhammad adalah sentiasa mengamalkan pergaulan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan antara sahabat dan sesiapa yang ditemuinya.

Apa yang jelas, Nabi Muhammad tidak mengamalkan protokol atau syarat untuk membolehkan seseorang menemui baginda. Sesiapa saja boleh menemui baginda untuk menyatakan sendiri sebarang hajat atau mengajukan apa-apa pertanyaan.

Rakyat tidak berasa kekok untuk menyampaikan sesuatu perkara dan berganding bahu dengan pemimpin yang mengamalkan pergaulan mesra untuk melakukan usaha ke arah kebaikan dan menghindar perkara buruk.

Semua rakyat berhak mendapat layanan sama adil daripada pemimpin tanpa membezakan penyokong setia atau kroni berbanding yang lain. Ini kerana baginda adalah pemimpin untuk seluruh umat manusia.

Pemimpin mesti mementingkan falsafah saling mempercayai seperti mana diamalkan oleh baginda yang tidak ragu-ragu tentang sebarang pengakuan atau janji yang diucapkan kepadanya. Baginda tidak mempunyai prejudis dengan membuat andaian tanpa alasan munasabah terhadap seseorang.

Hubungan kasih sayang dibina oleh Rasulullah SAW dengan semua orang menyebabkan baginda sentiasa disayangi. Baginda juga sentiasa mengutamakan pembinaan perasaan kasih sayang tanpa membeza-bezakan taraf seseorang.

Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat sejagat yang tidak hanya untuk kelompok masyarakat tertentu sahaja. Sebab itulah, baginda amat menekankan agar tidak wujud amalan perkauman atau melebihkan sesuatu bangsa sahaja.

Sifat yang tidak hanya mementingkan sesuatu kaum amat penting diamalkan di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti negara kita. Setiap kaum berhak menikmati kehidupan dengan harmoni, aman dan selamat dalam negara kita yang berkongsi pemerintahan.

Nabi Muhammad amat berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukan. Baginda sentiasa mengingatkan sesuatu kemungkinan yang bakal ditempuh oleh umat baginda pada masa akan datang.

Justeru, biarpun baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, apa yang pernah baginda ucapkan menjadi kenyataan pada hari ini.

Pemimpin yang berpandangan jauh tidak hanya merancang sesuatu yang berlaku dalam tempoh masa terdekat atau sekadar beberapa tahun akan datang. Sebagai pemimpin yang berwawasan, apa yang difikirkan tidak untuk diri dan generasinya saja. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang.

Tugas memimpin tidak sekadar menggunakan kebijaksanaan minda tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal yang mana setiap pemimpin terpaksa bergerak ke sana dan ke sini tanpa masa rehat yang cukup.

Sebab itulah, dalam sirah Rasulullah menceritakan mengenai kekuatan fizikal yang dimiliki baginda. Dengan kelebihan itu, baginda tidak menghadapi masalah untuk melakukan pelbagai jenis tugas, walaupun kelihatan berat untuk dilakukan orang lain.

Add to Google

Politeknik sebagai institusi pilihan

ARKIB : 25/02/2010-Utusan

Politeknik sebagai institusi pilihan

PENUBUHAN Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak pada 1969 menjadi titik awal permulaan pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini. Ketika itu, politeknik berkenaan menumpukan kepada beberapa bidang pengajian. Antaranya kursus juruteknik, perakaunan, teknologi galian, perancang bandar dan kampung, pengajian tanah dan trengkas.

Perpindahan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian turut melonjakkan permintaan untuk mengikuti pendidikan di politeknik. Perkara ini menyaksikan perkembangan pantas cabang pendidikan teknikal itu yang kini berjumlah 27 buah di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan, politeknik telah melahirkan seramai 305,900 pelajar di peringkat diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Seramai 86,430 pelajar pula sedang mengikuti pelbagai kursus ketika ini. Penambahbaikan juga dapat dilihat dari sudut penawaran kursus yang sesuai dengan pembangunan industri negara. Politeknik ketika ini menawarkan satu program diploma lanjutan berasaskan Work Based Learning, 49 program diploma, 37 program diploma pasca sijil dan 12 program asas bagi lepasan sijil kolej komuniti. Kursus lain yang ditawarkan adalah 20 program sijil politeknik dan lima sijil kemahiran khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Secara asasnya, transformasi itu menunjukkan wujudnya usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kredibiliti politeknik sebagai gedung melahirkan tenaga pakar dalam bidang-bidang khusus. Namun perlu diakui, pusaran globalisasi yang begitu pantas ketika ini menuntut satu pembaharuan politeknik yang lebih besar daripada pelbagai sudut. Apatah lagi politeknik juga perlu bersaing dengan sekian banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang jika diukur daripada prestijnya adalah lebih tinggi. Hala Tuju Transformasi Politeknik seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi hari ini misalnya, adalah salah satu usaha ke arah pembangunan cabang pendidikan itu.

Pelan ini menetapkan bahawa politeknik perlu diperkasakan dengan imej baru supaya ia mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di samping itu, hala tuju baru itu juga bertujuan melahirkan mahasiswa politeknik yang mempunyai kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja serta daya keusahawanan yang tinggi. Paling penting, hala tuju itu diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat awam terhadap pengajian di politeknik supaya lebih yakin dan positif.

Agenda transformasi itu secara keseluruhannya menuntut sekurang-kurangnya satu politeknik diiktiraf sebagai pemaju pendidikan latihan teknik dan vokasional di peringkat serantau. Sasaran itu disandarkan kepada Politeknik Premier selaku institusi ikon kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik. Politeknik yang terpilih sebagai Politeknik Premier akan mengalami pembangunan yang holistik dan menerajui kecemerlangan politeknik.

Penganugerahan Politeknik Premier bukan pengukur dalam penentuan kedudukan (ranking) keseluruhan politeknik di Malaysia. Ia memberi gambaran bahawa politeknik tersebut mempunyai potensi untuk mampu mencapai objektif agenda transformasi pada kadar yang paling pantas dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pelajar dan kakitangan serta bantuan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Politeknik Premier ini mempunyai sistem pengurusan dan keupayaan sumber manusia berdaya saing dengan ciri-ciri kecemerlangan yang mampu mengubah paradigma politeknik masa kini. Ia merupakan pemangkin kepada keseluruhan perubahan sistem pendidikan dan latihan politeknik di Malaysia.

''Politeknik Premier ini diharapkan menyumbang kepada penghasilan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat kerajaan membangun dalam model ekonomi berteraskan inovasi," katanya.

Di samping itu, Politeknik Premier juga dituntut untuk memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Transformasi Politeknik. Ia perlu mencapai beberapa score touch yang khusus untuk kekal bergelar Premier dalam masa tiga tahun. Pertimbangan bagi permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh akan dikemukakan untuk pelaksanaan program kecemerlangan yang dipercepatkan atau Accelerated Programmes for Excellence.

Politeknik yang dipilih untuk diberi suntikan program sebegini merupakan politeknik yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan cepat dan diyakini mampu mencapai objektif transformasi politeknik.

Konsep pembangunan model Politeknik Premier berasaskan kepada pembangunan politeknik yang holistik dan seimbang bertunjangkan dimensi asas iaitu Pelajar; Sumber Manusia; Program; Institusi, Struktur dan Tadbir Urus serta Perhubungan dengan Industri. Kelima-lima dimensi itu menjadi asas kepada pembentukan institusi yang mampu menjana satu generasi pekerja dinamik dan progresif.

Penubuhan Politeknik Premier itu penting bagi memastikan kelestarian penghasilan modal insan negara. Sudah semestinya, Politeknik Premier itu membawa impak langsung kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik dari beberapa sudut. Antaranya, ia akan melonjakkan imej politeknik sebagai sebuah institusi yang dinamik, responsif dan seiring dengan kehendak persekitaran. Ia juga akan mewujudkan keanjalan dalam pelaksanaan dan pengendalian tadbir urus bagi menjadikan institusi politeknik sebagai sebuah institusi yang mesra pelanggan. Di samping itu, ia juga akan memberi tumpuan kepada penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti tinggi serta aktiviti penyelidikan yang boleh memberikan impak besar kepada pembangunan institusi dan industri.

SSM:Bankrap tidak layak tadbir syarikat

ARKIB : 25/02/2010 - Utusan

SSM:Bankrap tidak layak tadbir syarikat

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengingatkan syarikat-syarikat hari ini akan tanggungjawab mereka bagi memastikan syarikat ditadbir hanya oleh pengarah yang layak sahaja.

Peringatan ini juga ditujukan kepada setiausaha syarikat.

SSM dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya melihat situasi orang yang masih dalam status bankrap dilantik sebagai pengarah syarikat, sebagai satu isu tadbir urus yang serius.

"Kami mahu memastikan bahawa hanya orang yang sesuai dan layak sahaja dilantik bagi menyelia operasi syarikat di Malaysia," kata Suruhanjaya itu.

Semalam, bekas Pengarah Johan Simfoni Sdn. Bhd., Zulkeffli Mohamad, disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Seksyen Petaling Jaya kerana menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat ketika masih berstatus bangkrap.

— Bernama

NCIA latih 100 usahawan

ARKIB : 06/03/2010 - Utusan

NCIA latih 100 usahawan

BUTTERWORTH 5 Mac - Pembangunan modal insan adalah salah satu komponen utama di dalam pelan pembangunan yang digariskan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sehubungan itu, sebanyak RM635,000 dibelanjakan NCIA untuk membiayai 100 peserta Program Keusahawanan yang dianjurkan bersama NCIA dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM).

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, sejak Disember tahun lalu, kursus keusahawanan selama tujuh minggu itu disediakan kepada graduan menganggur dan pekerja yang diberhentikan.

"Hasilnya selepas melalui lapan modul melalui program ini, mereka semua memperoleh sijil penyertaan dan memiliki asas keusahawanan.

"Antara bidang yang dipelajari sepanjang berada di Institut FMM itu adalah pelaksanaan perniagaan, perakaunan, pemasaran, pentadbiran dan perancangan perniagaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sijil peserta program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi FMM cawangan Pulau Pinang, Datuk O. K. Lee dan timbalannya, Khoo Cheok Sin.

Redza menambah, setiap peserta menerima elaun kursus sebanyak RM1,000 setiap seorang meliputi bayaran latihan sepanjang tempoh kursus itu.

Jelasnya, kursus itu menekankan pemantapan skil dan membentuk peserta supaya mampu mencari peluang perniagaan di dalam Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER).

"Modul kelapan di dalam kursus ini menekankan program mentor, ceramah dan seminar yang dikendalikan beberapa organisasi seperti SME Corporation, Matrade, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan institusi kewangan.

"Melalui pendedahan ini, peserta pastinya mampu merangka pelan perniagaan dan model kewangan bagi membolehkan mereka menyediakan satu rancangan yang terbaik sepanjang latihan ini," jelasnya.

Kata Redza lagi, kursus yang ditawarkan FMM ini agak unik kerana ia bukan bersifat akademik semata-mata tapi melibatkan pemain industri yang berpengalaman.

Katanya lagi, kursus seumpama ini akan diperluaskan dalam bidang lain bagi meningkatkan pembangunan modal insan di NCER.

Kopitiam vs mamak

ARKIB : 07/03/2010 - Utusan

Kopitiam vs mamak

Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu.

Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden.

Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular.

Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing.

Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil.

Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan.

Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara.

Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi.

Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.

Ternak tilapia teknologi tinggi

RKIB : 05/03/2010 - Utusan

Ternak tilapia teknologi tinggi


Ikan tilapia yang telah sedia dituai dan dipasarkan.


Ketika menerima jemputan daripada syarikat Norway untuk membuat liputan mengenai projek ikan tilapia ke Tasik Temenggor, Perak, terdetik pertanyaan mengapa ikan itu yang jadi pilihan bukannya ikan air tawar lain yang lebih komersial.

Apa istimewanya ikan tilapia yang diternak di sangkar di Tasik Temenggor dan mengapa mereka memilih tasik berkenaan.

Memang pelbagai persoalan bermain di fikiran semasa dalam perjalanan untuk berkumpul di Petaling Jaya, Selangor sebelum memulakan perjalanan ke Gerik, Perak.

Di Petaling Jaya, rakan media diraikan dengan hidangan ikan tilapia yang diternak di Tasik Temenggor.

Melihat kepada saiz selebar pinggan dengan berat lebih satu kilogram (kg) menyebabkan hati semakin terdetik untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya sementelah rasanya yang enak.

Ia bermula dengan taklimat Pengerusi Eksekutif CHH Aquatics, Sia Beng Kwee yang bertanggungjawab memasarkan dan mengedarkan ikan tilapia ke seluruh negara.

Beng Kwee berkata, ikan tilapia di Tasik Temenggor diternak oleh sebuah syarikat Norway, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak.

"Kini ikan tilapia keluaran Trapia telah mula masuk ke pasaran restoran dan rangkaian pasar raya besar seluruh negara.

"Pembeli kini prihatin dengan kesihatan memilih produk yang bermutu, selamat dan sihat," katanya yang mempromosikan Trapia Malaysia.

Menjamah ikan tilapia yang dihidang dengan pelbagai menu yang menyelerakan amat mengujakan untuk melihat sendiri kaedah ternakan yang digunakan.

Perjalanan ke Gerik memakan masa hampir lima jam menyebabkan kami sampai ke sana menjelang waktu maghrib.

Esok seawal lapan pagi, selepas sarapan, kami diberi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GenoMar AS, Mortem Hayum mengenai Trapia Malaysia.

GenoMar AS merupakan syarikat induk yang diasaskan di Oslo, Norway pada 1996 dan kini menjadi salah sebuah syarikat sains akuakultur terkemuka yang memberikan penekanan kepada ternakan tilapia.

"Syarikat kami terlibat dengan semua kitaran bermula dengan pemilihan pembiakbakaan menerusi penetasan, pembesaran sehingga kepada pengesahan asal usul," jelas beliau.

Dalam pembiakbakaan, GenoMar membangunkan generasi baru ikan tilapia secara berterusan bagi meningkatkan tumbesaran, rintangan terhadap penyakit, meningkatkan kadar pertukaran makanan dan meningkatkan pengeluaran filet.

Mortem berkata, GenoMar menggunakan penanda genetik (DNA berasaskan satelit mikro) bagi mengekalkan maklumat genetik dan mengoptimumkan kaedah pemilihan dan mengelakkan pembiakan dalaman.

"Bagaimanapun GenoMar tidak terlibat dalam manipulasi genetik," tegas beliau.

Sistem pembiakan ikan tilapia yang diternak hanya berdasarkan kepada pemilihan pembiakbakaan serta bantuan penanda genetik bagi maklumat genetik dan jejak sejarah keluarga.

GenoMar juga jelas Hayum, sentiasa meningkatkan jaminan kualiti seperti jadual pemakanan, manual dan kaedah mengendalikan kolam, rawatan air serta kaedah pemberian makanan.

"Baru-baru ini GenoMar telah melabur dalam kemudahan ujian kolam di Filipina dan kemudahan penyelidikan lain di Singapura.

"Kemudahan berkenaan digunakan sebagai menanda aras peningkatan gen, pembangunan kaedah pemakanan dan beberapa ujian berkaitan dengan Amalan Pertanian Baik," katanya.

Di Hainan, selatan China, GenoMar mempunyai sebuah ladang penetasan yang boleh mengeluarkan sehingga 280 juta benih tilapia setahun.

Ladang penetasan berkenaan membekalkan benih tilapia berkualiti bagi industri akuakultur di selatan China.

Di negara ini, Mortem berkata, GenoMar beroperasi di ladang tilapia bersepadu di Tasik Temenggor yang boleh mengeluarkan sehingga 20,000 tan traceable tilapia atau Trapia.

Trapia Malaysia diasaskan pada tahun 2007 bagi membangunkan dan melaksanakan polisi syarikat bermula daripada telur ikan sehingga ke pinggan hidangan.

Objektif Trapia Malaysia adalah untuk menjadi pengeluar ikan tilapia yang berkualiti tinggi, selamat, berterusan dan pelbagai dengan mengawal mendokumenkan dan mengesahkan semua langkah dalam rantaian.

Trapia merupakan hasil gabungan perkataan traceable dan tilapia di mana punca dan identitinya boleh disahkan menggunakan teknologi DNA.

Trapia dihasilkan menggunakan GenoMar Supreme Tilapia fingerlings atau anak ikan sehingga membesar ke saiz sesuai untuk dipasarkan.

Setiap fingerlings yang digunakan ditandakan, boleh dikesan dan disahkan dengan mudah.

Syarikat yang beribu pejabat di Ipoh, Perak diberikan hak untuk membuka ladang ternakan ikan mesra alam di kawasan hutan hujan tropika di Tasik Temenggor.

Persekitaran yang unik membolehkan Trapia menghasilkan produk yang selamat, berkualiti dan sihat bagi memenuhi piawaian akuakultur antarabangsa.

Trapia merupakan syarikat pertama di dunia melaksanasistem pengecaman DNA menggunakan Genopass.

"Ini merupakan teknik pengesanan yang boleh dipercayai oleh pengguna," katanya.

Kerajaan Malaysia memberikan lesen kepada Trapia Malaysia bagi mengeluarkan sehingga 20,000 tan ikan tilapia setahun di sana.

Di sekitar pekan Gerik terdapat kemudahan termasuk kolam penetasan, kolam nurseri dan kolam pembesaran ikan tilapia.

"Bagi peringkat permulaan di Tasik Temenggor rerdapat 20 buah kolam pembesaran dengan diameter 20 meter (m) dan kedalaman 6 m," katanya.

Bagaimanapun Trapia Malaysia tidak berkompromi mengenai alam sekitar bagi memastikan kawasan Tasik Temenggor bebas daripada pencemaran air akibat ternakan ikan sangkar.

Selain itu GenoMar juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan bagi penyediaan tempat penyimpanan dan menghasilkan fillet.

Kemudahan berkenaan akan beroperasi menjelang pertengahan tahun ini dan dijangka berupaya memproses sehingga 10,000 tan bahan mentah setahun.

Menerusi anak syarikatnya, Genopass Pte. Ltd. di Singapura, GenoMar terlibat menyediakan industri ternakan ikan dengan sistem pengesanan pelbagai yang menggunakan teknologi DNA untuk menentukan asal-usul ikan dan produk ikan.

Skandal di Internet

RKIB : 08/03/2010 - Utusan

Skandal di Internet


Cara yang mudah, murah dan cepat untuk mengesan pasangan yang menipu dalam talian ialah dengan mengupah 'penyiasat dalam talian'. - Gambar hiasan


PERNAHKAH terlintas di fikiran anda bahawa pasangan anda mungkin mempunyai kekasih di Internet? Mungkin anda boleh mengabaikan saja perasaan tersebut namun lagi lama dibiarkan macam ada sesuatu yang makin tidak kena pada hubungan anda berdua.

Anda tidak mampu menafikan wujud perasaan curiga yang pasangan anda menipu tentang hubungan cintanya di Internet. Jangan ambil mudah kerana anda sebenarnya sudah berada di tahap pertama amaran bahawa teknologi ini boleh menggugat keharmonian rumah tangga anda.

Dalam tahap ini, anda mungkin mengesyaki pasangan anda namun berjaya menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa itu hanya imaginasi sahaja. Ini kerana anda belum mempunyai bukti kukuh dan belum pun mahu mengumpul bukti tersebut.

Memasuki tahap kedua, anda sebenarnya sudah bersedia untuk menerima kebenaran. Anda mahukan fakta. Mungkin dalam tahap ini juga pasangan anda yang menipu sudah terasa gerak-gerinya diperhati dan dia mula mengurangkan tindak tanduknya di depan komputer. Anda pula sudah bersedia untuk menangkap pasangan yang curang di alam maya.

Persoalannya bagaimana anda boleh menangkap pasangan yang penuh muslihat ini? Memang bukan senang untuk mengumpul bukti, namun dengan adanya sedikit ilmu teknologi maklumat (IT) anda juga boleh menangkap pasangan yang menipu di Internet.

Anda mungkin boleh memeriksa dengan cara mencari sendiri di laman sembang yang pasangan anda gemar layari.

Mudah saja! Cara pertama layari laman web dengan kata kunci 'bagaimana menangkap pasangan yang menipu di Internet?' Dari situ anda akan menemui banyak cara untuk mengenalpasti sama ada pasangan anda sudah terlibat dengan skandal di Internet.

Ikut kaedah yang disarankan dan cuba sesuaikan dengan situasi anda. Perlu ingat segala tindakan anda haruslah berlandaskan fikiran dan bukan emosi kerana anda mahu mencegah sebelum parah dan bukannya mahu menambah kekacauan dalam rumah tangga.

Sebagai individu yang sayangkan keharmonian rumah tangga, anda perlu mengambil langkah bijak dalam membendung masalah ini. Jangan biarkan berlarutan dan ambil sikap tunggu dan lihat.

Cara pertama yang boleh dilakukan ialah dengan mengajak pasangan melakukan aktiviti bersama anda atau keluarga selepas pulang dari kerja dan kurangkan masa mengadap komputer.

Boleh jadi dengan bersama-sama menonton filem kegemaran, melayan anak-anak, atau keluar bersiar-siar anak melupakan keinginannya untuk mengadap komputer.

Awas jika terlambat kerana insan ketiga pasti akan memporak perandakan keluarga.

Upah penyiasat dalam talian

Satu lagi cara yang mudah, murah dan cepat untuk mengesan pasangan yang menipu dalam talian ialah dengan mengupah 'penyiasat dalam talian'.

Caranya ialah dengan hantarkan alamat emel pasangan anda kepada penyiasat tersebut secara pendaftaran dalam talian.

Penyiasat tersebut akan memberikan anda senarai perkhidmatan janji temu dalam talian (online dating service) yang telah didaftarkan menerusi emel pasangan anda tadi.

Jadi, anda akan tahu laman sosial manakah yang sering dikunjungi pasangan di belakang anda.

Dengan penyiasat ini, anda bukan saja boleh mengesan laman web sosial yang sering dikunjunginya malah anda juga boleh tahu siapa yang sering dihubungi pasangan dan berapa seriusnya perhubungan mereka.

Jika anda mendapati pasangan anda terlibat dalam satu hubungan yang di luar sangkaan seperti meminati kaum sejenis atau aktiviti seksual luar biasa yang bercanggah dengan pegangan moral, jangan terus melenting.

Itu lebih baik kerana anda mengetahui sendiri sisi gelap pasangan anda yang tidak didedahkan selama berpasangan dengannya. Memang rahsia si dia akan terbongkar dan fikirlah ada hikmah di sebalik semua ini.

Dan bila anda sudah bersedia untuk menangkap pasangan anda, terdapat banyak perkhidmatan penyiasat profesional dalam talian yang boleh diupah.

Namun sebelum mengambil keputusan mengupah penyiasat, ada beberapa perkara yang perlu diawasi, jangan sampai pasangan sedar anda sedang mengupah penyiasat tersebut.

Cari di Google dan periksa sama ada penyiasat tersebut telah mempunyai reputasi baik dalam penyiasatan dalam talian oleh rakan-rakannya.

Tidak semua penyiasat layak untuk melakukan penyiasatan untuk anda jadi anda juga perlu berhati-hati sebelum mengupah!

Add to Google

Bagaimana menjadi kreatif?


ARKIB : 25/02/2010- Utusan

Bagaimana menjadi kreatif?


Zulkifli Haron mencipta sebuah mesin pelbagai guna untuk membuat kuih di kenali sebagai Multi Purpose Robotic XY. - Gambar hiasan


Peserta bengkel Inovasi bersama Mega Utusan Malaysia dan Zull Design Autotronic yang akan diadakan Sabtu ini dilihat sebagai pembuka jalan kepada usaha kedua-dua pihak mempromosi dan memupuk minat terhadap budaya kreatif , reka cipta dan inovasi khususnya di kalangan generasi muda.

Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi ini telah memilih Sekolah Menengah Teknik Kajang di Jalan Semenyih, Kajang Selangor untuk mereka yang berumur 15 tahun ke atas. Ini adalah julung kali bengkel seperti itu diadakan sebagai menyahut seruan kerajaan sempena Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) , Meraikan Kreativiti.

Bengkel ini pastinya memberi pngalaman baru kepada peserta terutama mereka yang tidak terdedah kepada reka cipta, tetapi akan lebih teruja dengan hasil kerja masing-masing.

Antara program yang diatur ialah ceramah bagaimana orang kreatif belajar, dan praktikal menghidupkan peralatan dengan sentuhan lembut, menghidupkan peralatan dengan gegaran menggunakan suara menggunakan cahaya dan menggunakan pergerakan badan.

Beli buah secara maya

ARKIB : 09/03/2010 - Utusan

Beli buah secara maya


Adnan Lee bermesra dengan sebahagian kanak-kanak cacat penglihatan pada majlis pelancaran perkhidmatan penghantaran buah-buahan ke rumah, baru-baru ini.


DENGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin berkembang pesat hari ini, ia menjadi salah satu kemudahan yang membolehkan orang ramai mengetahui maklumat dengan hanya di hujung jari.

Bukan itu sahaja, malah hari ini segala urusan termasuk membeli pelbagai barangan dan keperluan juga boleh dilakukan hanya melalui talian tanpa perlu anda bersesak-sesak mengharungi kesesakan lalu lintas ataupun mencari petak kosong untuk meletakkan kenderaan.

Apabila segala urusan jual beli boleh dilakukan melalui talian, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kos selain menjimatkan masa terutama bagi mereka yang sibuk bekerja.

Menyedari akan kekangan masa yang dihadapi oleh kebanyakan warga kota hari ini, MBG Fruits menyediakan perkhidmatan penghantaran buah-buahan segar dan berkualiti ke rumah.

Perkhidmatan tersebut yang diberikan terus ke depan pintu rumah merupakan satu inisiatif yang dilakukan dan hingga ke hari ini tiada tandingan dalam industri buah-buahan di Malaysia.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan MBG Fruits, Adnan Lee, perkhidmatan penghantaran ke rumah yang dilancarkan baru-baru ini mencerminkan langkah strategik syarikatnya untuk menawarkan saluran yang sesuai dan mudah untuk meringankan beban hidup rakyat Malaysia yang ingin kekal sihat.

"Kita semua tahu bahawa rakyat Malaysia semakin sibuk dan disebabkan tuntutan kerja dan keluarga, mereka tidak mempunyai masa untuk membeli-belah.

"Ada yang enggan keluar untuk membeli barangan keperluan dapur kerana menganggap ia menyusahkan dan ditambah pula dengan kesesakan jalan raya, kesukaran mencari tempat letak kereta dan kesibukan pusat membeli-belah, mereka lebih rela membeli-belah dalam talian atau dengan cara lain yang mudah untuk mendapatkan bekalan barang keperluan harian dan bahan makanan, termasuk buah-buahan.

"Pengguna boleh membeli buah-buahan yang diingini secara dalam talian dan buah-buahan yang dipesan akan dihantar dalam tempoh sehari,'' katanya.

Tambah beliau, selaras dengan trend semasa, pihaknya percaya perkhidmatan tersebut belum pernah dilakukan dalam industri jualan buah-buahan.

MBG Fruits merupakan rangkaian kedai buah-buahan yang bermula secara kecil-kecilan sebagai perniagaan keluarga pada tahun 2004.

Sesuai dengan namanya MBG iaitu singkatan untuk 'Money Back Guarantee' (Jaminan Wang Dikembalikan), pengguna berhak meminta wang mereka dikembalikan sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kualiti buah-buahan yang dibeli.

Mempunyai 16 buah kedai beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, MBG Fruits menawarkan buah-buahan segar yang bermutu tinggi untuk membantu mewujudkan masyarakat yang sihat.

Diuruskan oleh 120 kakitangan serta mempunyai lebih tiga juta pelanggan setiap tahun, MBG Fruits berhasrat memperkukuhkan hasratnya untuk mewarnai kehidupan manusia dan berpegang kepada falsafahnya sebagai syarikat yang mengambil berat tentang kesihatan, kesejahteraan dan kesihatan pengguna.

Selain memberi perkhidmatan penghantaran ke rumah, MBG Fruits turut menganjurkan peraduan melukis dalam usaha menyuntik semangat dan keceriaan ke dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di samping satu strategi pemasaran untuk mendekati pengguna.

"Hari ini kami menggunakan kesempatan ini menyampaikan hadiah untuk pertandingan melukis yang dianjurkan di sebuah kompleks beli-belah beberapa bulan lalu.

"Peraduan yang bertemakan 'Anda Pesan, Kami Hantar' telah berjaya menarik sebanyak 300 penyertaan di sekitar Lembah Klang dan Melaka,'' tambah Adnan Lee.

Adnan Lee yang juga merupakan seorang pelukis berbakat besar pernah memenangi beberapa pertandingan melukis dan menjelaskan bahawa lukisan membawa warna dalam kehidupan semua orang dan secara tidak langsung membina generasi masa depan yang lebih sihat.

Untuk tahun ini, jelas AdnanLee, pihaknya dalam perancangan untuk mengadakan beberapa siri peraduan melukis.

Usahawan jadi pensyarah IPTA

Usahawan jadi pensyarah IPTA - 10 Mac 2010-Utusan

PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan usahawan tempatan yang berjaya menjadi pensyarah sambilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) tenaga pengajar itu selari dengan kehendak universiti dan industri.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana hampir semua pensyarah yang mengajar subjek keusahawanan di IPTA kini tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.

''Walaupun cadangan itu belum pernah dilaksanakan di IPTA, beberapa buah universiti di negara-negara Barat telah membuktikan bahawa lebih mudah usahawan mengajar pelajar keusahawanan.

''Ini kerana pengetahuan keusahawanan bukan hanya berasaskan teori tetapi juga pengalaman usahawan mengurus perniagaan mereka dan soal bimbingan selepas keluar daripada universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk David Chua.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, kementerian kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum dilaksanakan.

''Jika sempat kita mungkin akan melaksanakannya pada sesi pengajian akademik bulan Julai ini di IPTA yang telah mempunyai kursus keusahawanan sebagai projek perintis.

''IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Ditanya mengenai kadar bayaran kepada tenaga pengajar itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak industri dapat mengutamakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

''Lagipun, tempoh masa pengajaran mereka hanyalah beberapa jam dalam seminggu dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka," katanya.