BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 19, 2013

KOMPETENSI USAHAWAN BERJAYA


Kompetensi keusahawanan bermaksud kemampuan atau kecekapan seseorang untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Kompetensi atau ketrampilan diri keusahawanan dimiliki melalui amalan-amalan perilaku hasil daripada pengaruh nilai-nilai hidup seseorang, sikap atau desakan dalaman untuk melakukan tugas dengan cemerlang. Melalui kompetensi keusahawanan, seseorang akan lebih mampu dan lebih cekap berbanding dengan orang lain yang mempunyai  pengetahuan dan kelulusan yang sama. Antaranya berinisiatif, melihat dan merebut peluang, kecekalan, berkeupayaan mencari maklumat, menitikberatkan mutu kerja yang tinggi, komitmen terhadap perjanjian kerja, kecekalan, membuat perancangan yang sistematik, menyelesaikan masalah secara kreatif, berkeyakinan, ketegasan, menyakin orang lain dan seterusnya menggunakan strategi pengaruh.

Thursday, March 11, 2010

Minda: Tingkat imej politeknik

Minda: Tingkat imej politeknik



2010/03/10-arkib harian metro
E-mel  Artikel Cetak  Artikel Tanda  Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen  Artikel

SEJARAH pendidikan politeknik melalui jalan cukup panjang dan sehingga kini menjadi penyumbang utama kepada negara dalam melahirkan graduan separa profesional di sektor industri dan teknologi.

Sehingga kini ribuan lepasan politeknik menjadi tenaga penggerak utama pembangunan negara dan ia seharusnya menjadi kebanggaan kepada semua pihak khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Meneliti sejarah, politeknik pertama ditubuhkan ialah Politeknik Ungku Omar di Perak pada 1969 dengan matlamat memberikan latihan teknikal kepada anak tempatan. Politeknik itu mengambil nama Allahyarham Profesor Datuk Ungku Omar Ahmad sebagai mengenang jasanya dalam bidang penyelidikan perubatan. Maka, dari situlah pengajian politeknik mula berkembang pesat sejajar dengan kepesatan pembangunan negara. Satu demi satu politeknik baru dibina untuk memenuhi keperluan sumber tenaga kerja dalam sektor industri dan teknologi.


Sehingga kini, ada 27 politeknik beroperasi di seluruh negara. Ia bukan lagi satu jenama pendidikan tinggi kelas kedua kerana kerajaan telah dan sedang melaksanakan transformasi secara terancang memartabatkannya setaraf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain. Kalau dulu belajar di politeknik dianggap sebagai kelas kedua kerana taraf politeknik dianggap lebih rendah dan berbeza dengan sistem pembelajaran di IPTA tetapi dengan langkah terkini yang dilaksanakan iaitu mewujudkan politeknik premier akan membuka mata semua betapa kerajaan tidak memencilkan politeknik.


Tahniah kepada tiga politeknik yang telah dinaik taraf sebagai politeknik premier iaitu Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bharu. Penarafan politeknik berkenaan akan menjadi asas ke arah penubuhan universiti politeknik menjelang 2015. Ini satu berita menggembirakan semua pihak kerana cadangan seumpama itu sudah lama ditunggu-tunggu dalam mengangkat martabat sistem pengajian politeknik di tempat yang sejajar dengan IPTA lain. Politeknik premier yang dipilih itu akan berperanan menjalankan program dalam bidang tujahan, selain mempelopori usaha menawarkan program pengajian berbentuk teknikal kepada pelajar antarabangsa khususnya dalam kalangan negara membangun. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin transformasi pengajian politeknik itu boleh dijayakan melalui inovasi sistematik bagi menambah nilai kepada proses dan keberhasilan serta latihan politeknik.


“Penubuhan universiti politeknik menjadi pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian tinggi,” katanya. Jadi, kita melihat langkah awal mewujudkan tiga politeknik premier itu akan menjana satu senario baru kepada paradigma orang ramai khususnya pelajar terhadap kepentingan sistem pengajian di politeknik dan seterusnya menjadikan politeknik pilihan utama dalam pengajian tinggi negara. Sesungguhnya penarafan politeknik premier itu memberi nafas baru dan menyegarkan landskap alam pengajian tinggi dengan membuka ruang dan peluang kepada anak bangsa menceburi bidang kemahiran dan teknikal sehingga ke peringkat tertinggi. Manakala cadangan kerajaan akan menaikkan taraf politeknik menjadi universiti penuh menjelang 2015 akan menjadikan negara hab pendidikan terulung di rantau ini. Menurut Muhyiddin, universiti politeknik ini akan membolehkan pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pasca menengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu menyambung pengajian ke institusi lain.

Langkah menaik taraf politeknik sebagai universiti boleh dilaksanakan sebagaimana kaedah UiTM sebelum ini. Mungkin Politeknik Ungku Omar boleh dijadikan kampus utama dan semua politeknik di seluruh negara dijadikan kampus cawangan. Bagaimanapun, ini hanyalah satu cadangan saja. Mungkin Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai rangka perancangan yang jitu dalam membentuk satu entiti jenama politeknik yang berwibawa. Justeru, mulai sekarang kita harap semua politeknik mengambil langkah konkrit dalam memperkukuhkan kualiti pengajian dengan melaksanakan inovasi dalam pelbagai program pengajiannya agar menjadi satu tarikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memilihnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Seperti kata Muhyiddin, inovasi dalam pengurusan politeknik selain mampu menarik minat pelajar terbaik mengikuti pendidikan vokasional dan teknik, ia juga boleh dikembangkan dengan memberi pengecualian kredit kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang memasuki politeknik. Ini akan menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan utama pelajar yang berhasrat mengikuti pengajian di universiti teknikal. Sesungguhnya saranan Muhyiddin itu harus dilihat sebagai usaha murni ke arah menjadikan politeknik destinasi utama pilihan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Penubuhan politeknik premier itu satu usaha pelestarian melahirkan modal insan yang diingini negara bagi memenuhi keperluan pembangunan dan menjayakan kejayaan industri. Politeknik premier dan seluruh politeknik lain seharusnya mulai sekarang berusaha keras untuk melahirkan pelajar yang berpersonaliti unggul, berinovasi dalam mengetengahkan pelbagai program pengajian yang berimpak tinggi dan juga mesti memiliki tenaga pengajar berwibawa. Selain itu, politeknik juga seharusnya mampu menyediakan prasarana mencukupi dan berkeadaan kondusif untuk pelajarnya. Melalui kriteria seperti ini, politeknik akan memacu secara efektif ke arah menjadikannya universiti politeknik menjelang 2015.


Kesimpulannya , dapat dirumuskan di sini bahawa transformasi politeknik itu akan memperkasakan aliran pengajian tinggi dalam lapangan teknikal dan vokasional, sekali gus menaikkan imejnya sebagai institusi pengajian tinggi ulung serta menjadi pilihan utama lepasan SPM/STPM. Mengurusperdanakan politeknik mesti dirancakkan bermula sekarang kerana dalam tempoh lima tahun daripada sekarang rakyat khususnya pelajar akan melihat satu fenomena baru alam pengajian tinggi beraliran teknikal dan vokasional. Politeknik setakat ini berjaya melahirkan 305,900 graduannya yang kini berada di serata pelosok negara menyumbang tenaga kemahiran menjana kejayaan sektor industri dan teknologi negara.


Kepada lepasan SPM/STPM, janganlah malu dan beranggapan negatif terhadap pengajian di politeknik kerana bidang teknikal dan vokasional membuka prospek cemerlang buat anda semua. ‘Politeknik Pilihan Bijak Buat Anda’.