BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 10, 2010

Beli buah secara maya

ARKIB : 09/03/2010 - Utusan

Beli buah secara maya


Adnan Lee bermesra dengan sebahagian kanak-kanak cacat penglihatan pada majlis pelancaran perkhidmatan penghantaran buah-buahan ke rumah, baru-baru ini.


DENGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin berkembang pesat hari ini, ia menjadi salah satu kemudahan yang membolehkan orang ramai mengetahui maklumat dengan hanya di hujung jari.

Bukan itu sahaja, malah hari ini segala urusan termasuk membeli pelbagai barangan dan keperluan juga boleh dilakukan hanya melalui talian tanpa perlu anda bersesak-sesak mengharungi kesesakan lalu lintas ataupun mencari petak kosong untuk meletakkan kenderaan.

Apabila segala urusan jual beli boleh dilakukan melalui talian, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kos selain menjimatkan masa terutama bagi mereka yang sibuk bekerja.

Menyedari akan kekangan masa yang dihadapi oleh kebanyakan warga kota hari ini, MBG Fruits menyediakan perkhidmatan penghantaran buah-buahan segar dan berkualiti ke rumah.

Perkhidmatan tersebut yang diberikan terus ke depan pintu rumah merupakan satu inisiatif yang dilakukan dan hingga ke hari ini tiada tandingan dalam industri buah-buahan di Malaysia.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan MBG Fruits, Adnan Lee, perkhidmatan penghantaran ke rumah yang dilancarkan baru-baru ini mencerminkan langkah strategik syarikatnya untuk menawarkan saluran yang sesuai dan mudah untuk meringankan beban hidup rakyat Malaysia yang ingin kekal sihat.

"Kita semua tahu bahawa rakyat Malaysia semakin sibuk dan disebabkan tuntutan kerja dan keluarga, mereka tidak mempunyai masa untuk membeli-belah.

"Ada yang enggan keluar untuk membeli barangan keperluan dapur kerana menganggap ia menyusahkan dan ditambah pula dengan kesesakan jalan raya, kesukaran mencari tempat letak kereta dan kesibukan pusat membeli-belah, mereka lebih rela membeli-belah dalam talian atau dengan cara lain yang mudah untuk mendapatkan bekalan barang keperluan harian dan bahan makanan, termasuk buah-buahan.

"Pengguna boleh membeli buah-buahan yang diingini secara dalam talian dan buah-buahan yang dipesan akan dihantar dalam tempoh sehari,'' katanya.

Tambah beliau, selaras dengan trend semasa, pihaknya percaya perkhidmatan tersebut belum pernah dilakukan dalam industri jualan buah-buahan.

MBG Fruits merupakan rangkaian kedai buah-buahan yang bermula secara kecil-kecilan sebagai perniagaan keluarga pada tahun 2004.

Sesuai dengan namanya MBG iaitu singkatan untuk 'Money Back Guarantee' (Jaminan Wang Dikembalikan), pengguna berhak meminta wang mereka dikembalikan sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kualiti buah-buahan yang dibeli.

Mempunyai 16 buah kedai beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, MBG Fruits menawarkan buah-buahan segar yang bermutu tinggi untuk membantu mewujudkan masyarakat yang sihat.

Diuruskan oleh 120 kakitangan serta mempunyai lebih tiga juta pelanggan setiap tahun, MBG Fruits berhasrat memperkukuhkan hasratnya untuk mewarnai kehidupan manusia dan berpegang kepada falsafahnya sebagai syarikat yang mengambil berat tentang kesihatan, kesejahteraan dan kesihatan pengguna.

Selain memberi perkhidmatan penghantaran ke rumah, MBG Fruits turut menganjurkan peraduan melukis dalam usaha menyuntik semangat dan keceriaan ke dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di samping satu strategi pemasaran untuk mendekati pengguna.

"Hari ini kami menggunakan kesempatan ini menyampaikan hadiah untuk pertandingan melukis yang dianjurkan di sebuah kompleks beli-belah beberapa bulan lalu.

"Peraduan yang bertemakan 'Anda Pesan, Kami Hantar' telah berjaya menarik sebanyak 300 penyertaan di sekitar Lembah Klang dan Melaka,'' tambah Adnan Lee.

Adnan Lee yang juga merupakan seorang pelukis berbakat besar pernah memenangi beberapa pertandingan melukis dan menjelaskan bahawa lukisan membawa warna dalam kehidupan semua orang dan secara tidak langsung membina generasi masa depan yang lebih sihat.

Untuk tahun ini, jelas AdnanLee, pihaknya dalam perancangan untuk mengadakan beberapa siri peraduan melukis.

0 comments: