BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 10, 2010

NCIA latih 100 usahawan

ARKIB : 06/03/2010 - Utusan

NCIA latih 100 usahawan

BUTTERWORTH 5 Mac - Pembangunan modal insan adalah salah satu komponen utama di dalam pelan pembangunan yang digariskan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sehubungan itu, sebanyak RM635,000 dibelanjakan NCIA untuk membiayai 100 peserta Program Keusahawanan yang dianjurkan bersama NCIA dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM).

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, sejak Disember tahun lalu, kursus keusahawanan selama tujuh minggu itu disediakan kepada graduan menganggur dan pekerja yang diberhentikan.

"Hasilnya selepas melalui lapan modul melalui program ini, mereka semua memperoleh sijil penyertaan dan memiliki asas keusahawanan.

"Antara bidang yang dipelajari sepanjang berada di Institut FMM itu adalah pelaksanaan perniagaan, perakaunan, pemasaran, pentadbiran dan perancangan perniagaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sijil peserta program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi FMM cawangan Pulau Pinang, Datuk O. K. Lee dan timbalannya, Khoo Cheok Sin.

Redza menambah, setiap peserta menerima elaun kursus sebanyak RM1,000 setiap seorang meliputi bayaran latihan sepanjang tempoh kursus itu.

Jelasnya, kursus itu menekankan pemantapan skil dan membentuk peserta supaya mampu mencari peluang perniagaan di dalam Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER).

"Modul kelapan di dalam kursus ini menekankan program mentor, ceramah dan seminar yang dikendalikan beberapa organisasi seperti SME Corporation, Matrade, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan institusi kewangan.

"Melalui pendedahan ini, peserta pastinya mampu merangka pelan perniagaan dan model kewangan bagi membolehkan mereka menyediakan satu rancangan yang terbaik sepanjang latihan ini," jelasnya.

Kata Redza lagi, kursus yang ditawarkan FMM ini agak unik kerana ia bukan bersifat akademik semata-mata tapi melibatkan pemain industri yang berpengalaman.

Katanya lagi, kursus seumpama ini akan diperluaskan dalam bidang lain bagi meningkatkan pembangunan modal insan di NCER.

0 comments: