BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 10, 2010

Usahawan jadi pensyarah IPTA

Usahawan jadi pensyarah IPTA - 10 Mac 2010-Utusan

PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan usahawan tempatan yang berjaya menjadi pensyarah sambilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) tenaga pengajar itu selari dengan kehendak universiti dan industri.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana hampir semua pensyarah yang mengajar subjek keusahawanan di IPTA kini tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.

''Walaupun cadangan itu belum pernah dilaksanakan di IPTA, beberapa buah universiti di negara-negara Barat telah membuktikan bahawa lebih mudah usahawan mengajar pelajar keusahawanan.

''Ini kerana pengetahuan keusahawanan bukan hanya berasaskan teori tetapi juga pengalaman usahawan mengurus perniagaan mereka dan soal bimbingan selepas keluar daripada universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk David Chua.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, kementerian kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum dilaksanakan.

''Jika sempat kita mungkin akan melaksanakannya pada sesi pengajian akademik bulan Julai ini di IPTA yang telah mempunyai kursus keusahawanan sebagai projek perintis.

''IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Ditanya mengenai kadar bayaran kepada tenaga pengajar itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak industri dapat mengutamakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

''Lagipun, tempoh masa pengajaran mereka hanyalah beberapa jam dalam seminggu dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka," katanya.

0 comments: