BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 10, 2010

Politeknik sebagai institusi pilihan

ARKIB : 25/02/2010-Utusan

Politeknik sebagai institusi pilihan

PENUBUHAN Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak pada 1969 menjadi titik awal permulaan pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini. Ketika itu, politeknik berkenaan menumpukan kepada beberapa bidang pengajian. Antaranya kursus juruteknik, perakaunan, teknologi galian, perancang bandar dan kampung, pengajian tanah dan trengkas.

Perpindahan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian turut melonjakkan permintaan untuk mengikuti pendidikan di politeknik. Perkara ini menyaksikan perkembangan pantas cabang pendidikan teknikal itu yang kini berjumlah 27 buah di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan, politeknik telah melahirkan seramai 305,900 pelajar di peringkat diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Seramai 86,430 pelajar pula sedang mengikuti pelbagai kursus ketika ini. Penambahbaikan juga dapat dilihat dari sudut penawaran kursus yang sesuai dengan pembangunan industri negara. Politeknik ketika ini menawarkan satu program diploma lanjutan berasaskan Work Based Learning, 49 program diploma, 37 program diploma pasca sijil dan 12 program asas bagi lepasan sijil kolej komuniti. Kursus lain yang ditawarkan adalah 20 program sijil politeknik dan lima sijil kemahiran khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Secara asasnya, transformasi itu menunjukkan wujudnya usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kredibiliti politeknik sebagai gedung melahirkan tenaga pakar dalam bidang-bidang khusus. Namun perlu diakui, pusaran globalisasi yang begitu pantas ketika ini menuntut satu pembaharuan politeknik yang lebih besar daripada pelbagai sudut. Apatah lagi politeknik juga perlu bersaing dengan sekian banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang jika diukur daripada prestijnya adalah lebih tinggi. Hala Tuju Transformasi Politeknik seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi hari ini misalnya, adalah salah satu usaha ke arah pembangunan cabang pendidikan itu.

Pelan ini menetapkan bahawa politeknik perlu diperkasakan dengan imej baru supaya ia mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di samping itu, hala tuju baru itu juga bertujuan melahirkan mahasiswa politeknik yang mempunyai kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja serta daya keusahawanan yang tinggi. Paling penting, hala tuju itu diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat awam terhadap pengajian di politeknik supaya lebih yakin dan positif.

Agenda transformasi itu secara keseluruhannya menuntut sekurang-kurangnya satu politeknik diiktiraf sebagai pemaju pendidikan latihan teknik dan vokasional di peringkat serantau. Sasaran itu disandarkan kepada Politeknik Premier selaku institusi ikon kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik. Politeknik yang terpilih sebagai Politeknik Premier akan mengalami pembangunan yang holistik dan menerajui kecemerlangan politeknik.

Penganugerahan Politeknik Premier bukan pengukur dalam penentuan kedudukan (ranking) keseluruhan politeknik di Malaysia. Ia memberi gambaran bahawa politeknik tersebut mempunyai potensi untuk mampu mencapai objektif agenda transformasi pada kadar yang paling pantas dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pelajar dan kakitangan serta bantuan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Politeknik Premier ini mempunyai sistem pengurusan dan keupayaan sumber manusia berdaya saing dengan ciri-ciri kecemerlangan yang mampu mengubah paradigma politeknik masa kini. Ia merupakan pemangkin kepada keseluruhan perubahan sistem pendidikan dan latihan politeknik di Malaysia.

''Politeknik Premier ini diharapkan menyumbang kepada penghasilan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat kerajaan membangun dalam model ekonomi berteraskan inovasi," katanya.

Di samping itu, Politeknik Premier juga dituntut untuk memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Transformasi Politeknik. Ia perlu mencapai beberapa score touch yang khusus untuk kekal bergelar Premier dalam masa tiga tahun. Pertimbangan bagi permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh akan dikemukakan untuk pelaksanaan program kecemerlangan yang dipercepatkan atau Accelerated Programmes for Excellence.

Politeknik yang dipilih untuk diberi suntikan program sebegini merupakan politeknik yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan cepat dan diyakini mampu mencapai objektif transformasi politeknik.

Konsep pembangunan model Politeknik Premier berasaskan kepada pembangunan politeknik yang holistik dan seimbang bertunjangkan dimensi asas iaitu Pelajar; Sumber Manusia; Program; Institusi, Struktur dan Tadbir Urus serta Perhubungan dengan Industri. Kelima-lima dimensi itu menjadi asas kepada pembentukan institusi yang mampu menjana satu generasi pekerja dinamik dan progresif.

Penubuhan Politeknik Premier itu penting bagi memastikan kelestarian penghasilan modal insan negara. Sudah semestinya, Politeknik Premier itu membawa impak langsung kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik dari beberapa sudut. Antaranya, ia akan melonjakkan imej politeknik sebagai sebuah institusi yang dinamik, responsif dan seiring dengan kehendak persekitaran. Ia juga akan mewujudkan keanjalan dalam pelaksanaan dan pengendalian tadbir urus bagi menjadikan institusi politeknik sebagai sebuah institusi yang mesra pelanggan. Di samping itu, ia juga akan memberi tumpuan kepada penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti tinggi serta aktiviti penyelidikan yang boleh memberikan impak besar kepada pembangunan institusi dan industri.

0 comments: