BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 10, 2010

Kopitiam vs mamak

ARKIB : 07/03/2010 - Utusan

Kopitiam vs mamak

Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu.

Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden.

Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular.

Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing.

Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil.

Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan.

Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara.

Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi.

Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.

0 comments: